|
SEREMBAN: Penganggur yang dituduh membunuh empat ahli keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Januari lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, dia melakukan pembunuhan itu atas arahan 'suara dari langit'.
Rasidi Ismail, 32, membuat pendedahan itu selepas ditanya Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, mengapa dia mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Terdahulu, Rasidi mengaku bersalah membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di No 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 pagi hingga 11 pagi pada 5 Januari lalu. Dia turut mengaku bersalah membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; nenek, Sufiah Katas, 80, dan datuknya, Atan Daud, 87, di rumah tidak bernombor di kampung sama antara jam 7 pagi hingga 11 pagi pada hari sama.
Selepas Rasidi mengaku bersalah dan faham terhadap keempat-empat tuduhan itu, Ahmad Nasfy menjelaskan hukuman bagi pengakuan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah gantung sampai mati dan mahkamah sudah melantik peguam bela, Hanif Hassan, bagi mewakili tertuduh.
“Sekarang, mahkamah mahu mengetahui mengapa kamu mengaku bersalah?,” tanya Ahmad Nasfy dan kemudian dijawab Rasidi: “Saya menerima arahan untuk melakukannya. Saya diarahkan oleh suara dari langit."
Ahmad Nasfy berkata, mahkamah boleh menggunakan Seksyen 342 (1) Kanun Acara Jenayah yang membolehkan majistret, hakim dan pendakwa raya memohon siasatan bagi menentukan sama ada tertuduh cukup sihat untuk dibicarakan.
Hanif kemudian meminta pengakuan tertuduh sebelum itu ditolak dan tidak direkodkan. Beliau juga meminta mahkamah mengarahkan penilaian psikiatri terhadap tertuduh mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Acara Jenayah.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahruddin Wan Ladin, pula berkata syarat itu bertujuan memastikan tertuduh cukup sihat untuk mengaku bersalah dan mengikut prosiding mahkamah dan dia perlu dihantar untuk pemerhatian oleh satu pasukan psikiatri untuk tempoh 30 hari.
Ahmad Nasfy kemudian berkata: “Selepas mendengar sebab awal kamu mengaku bersalah, saya mempunyai sebab untuk mempercayai kamu pada ketika ini tidak cukup sihat untuk mengikuti perbicaraan.
“Mahkamah dengan ini mengarahkan tertuduh dihantar untuk pemerhatian psikiatri di hospital mental selama sebulan.”
Beliau turut menetapkan sebutan semula kes itu pada 22 April depan.
hari tue muka dier lain... kenapa yang ni lain...
hari tue merecik2 muka nyer... skrg hazabbbbbbbbbbbbb........ |
|