Kata Hati, Bebas pertaruhan Mila
Oleh Fatin Farhana Ariffin
2011/03/25
Bangkit dengan album terkini lima lagu ciptaan terbaru
MILA atau nama Nursharmila Jirin, juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima ini mahu bangkit dengan album keduanya selepas hampir empat tahun tidak menghasilkan sebarang produk.
Gadis genit ini tampil dengan album baru yang diberi judul menggunakan Mila Jirin, memuatkan lagu karya terbaru dan beberapa lagu yang diambil daripada album pertamanya. Lima lagu baru menjadi pertaruhan manakala tiga lagi lagu selingan, iaitu lagu yang pernah dimuatkan dalam album pertamanya, Aku Lebih Tahu versi remix, Siapa Tak Perlu Cinta dan La Ober La La La yang diberi nafas baru. Manakala lagu barunya berjudul Bebas, Malu-Malu, Luahan Hati, Kata Hati dan Kasih Yang Terdampar. Album terbitan MJ Panacea Records yang berkonsepkan ‘pop moderate’ ini turut menggunakan khidmat tiga orang penerbit terkenal seperti Aidit Alfian, Ajai dan Amir. Namun, konsep album ini tidak banyak kurangnya dari hasilnya yang pertama, di mana motif cinta dan kebebasan banyak diterapkan di dalam bait-bait liriknya.
Ditanya mengenai lagu kegemarannya yang menjadi taruhan buat album keduanya ini, Mila memilih lagu Malu-Malu kerana ia agak berbeza dengan lagunya sebelum ini dan lagu Kasih Yang Terdampar, sebuah lagu rentah balada yang menyelitkan konsep ‘slow rock’ di akhir lagu.
Lebih menarik lagi, album ini adalah produksi Mila sendiri, setelah hampir tujuh bulan mengusahakan atas inisiatif dirinya sendiri, serta turut mempamerkan bakatnya dalam penulisan lirik di mana dia menghasilkan lirik untuk lagu Bebas.
“Pada mulanya saya hanya mencuba menulis, tapi dengan bantuan Sheikh Qalam, saya dapat menyiapkan lirik lagu itu dalam masa dua hingga ke tiga hari. Saya akui masih baru dalam penulisan dan lirik yang dihasilkan bukanlah antara yang terbaik.
“Ini kali pertama saya menulis lirik kepada lagu saya sendiri, banyak lagi yang saya perlu perbaiki. Oleh itu, saya harap pendengar mahupun peminat boleh menerima karya saya ini,” kata Mila.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini turut menyatakan dia akan turun padang dengan mengadakan jelajah di seluruh tanah air bagi mempromosikan lagunya dan menyemarakkan penjualan album Mila Jirin.
Sehingga kini, Mila berpuas hati dengan penjualan hasil albumnya itu, di mana ia mendapat sambutan yang agak baik dan dua lagunya iaitu Kata Hati dan Bebas sudah disiarkan di beberapa stesen radio.
Oleh itu, sesiapa yang berminat dengan album Mila Jirin ini boleh mendapatkannya di kedai muzik di sekitar tanah air dan juga boleh melayari laman web www.erama.tv/milajirin dan www.facebook.com/milajirin untuk makluman lebih lanjut.
Selain cakera padat (CD), peminat boleh mendapatkan album ini dalam bentuk kad digital. Kad digital tersebut bukan saja lebih murah berbanding CD, malah peminat boleh menggunakan untuk memuat turun barisan lagu baru Mila terus ke komputer.
“Di Amerika Syarikat dan Eropah sudah lama menggunakan kad digital ini. Kaedah ini sesuatu yang baru tetapi ia memudahkan golongan remaja untuk mendapatkan album baru saya, serta harganya berpatutan dengan golongan ini,” kata Mila
27 Mac 2011 (Ahad)
Live di Aktif5 @ TV2 pukul 9 malam
30 Mac 2011 (Rabu)
Interview Muzik Aktif @ RTM [180 astro] pukul 9 pagi
2 April 2011 (Sabtu)
- Showcase Hotlink @ Hotel Zenith, Kuantan pukul 2-3 petang
- Family Day MAS Airline @ Subang, Selangor pukul 5-6 petang
- Karnival @ Aeon Jusco Ipoh, Perak 8.30-9.30 malam
3 April 2011 (Ahad)
- Live Interview @ Perak FM pukul 11-12 tghari
- Universiti Malaya Dinner Show @ Klang Valley pukul 8-9 malam