Tugas besar Jonassen bawa pulang emas Olimpik Los Angeles
[size=14.399999618530273px]Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam. - BERNAMA
[size=14.399999618530273px]
[size=14.399999618530273px]
KUALA LUMPUR: Pelantikan Kenneth Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu hadir dengan tanggungjawab besar apabila dia diberi tugasan untuk melahirkan pemain yang mampu memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2024. Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam, berkata badan induk itu meletakkan harapan yang tinggi untuk jurulatih dari Denmark berusia 50 tahun itu merealisasikan matlamat berkenaan. "Harapan kita adalah untuk dia (Jonassen) melahiran pemain terbaik dan bawa pulang pingat emas Sukan Olimpik. Dia akan bekerjasama dengan Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan ABM) nanti. "Buat masa ini, kita tunggu dia datang dahulu dan beri masa kepadanya untuk membuat perancangan tetapi harapan kita memang pingat emas (Olimpik)," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Terdahulu, Subramaniam mengumumkan pelantikan Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu dengan kontrak selama empat tahun dan akan memulakan tugas secara rasmi 4 Januari tahun depan. Jonassen akan mengemudi kedua-dua sektor perseorangan lelaki dan wanita selain bekerja rapat dan memberikan laporan kepada Rexy berhubung program latihan skuad perseorangan kebangsaan.
"Jonassen adalah salah satu figura yang sangat dihormati dalam dunia badminton dan memiliki rekod cukup baik. Dia sudah membentuk badminton Denmark berbekalkan pengalaman selama 13 tahun sebagai jurulatih. "Sebenarnya keputusan ini dibuat oleh pengurusan, bukan saya seorang sahaja. Memang ada calon-calon lain, termasuk dari Asia tetapi kami buat keputusan untuk melantik Jonassen," kata Subramaniam. Selaku ketua jurulatih perseorangan, Jonassen akan dibantu dua jurulatih K Yogendran dan Alvin Chew dalam perseorangan lelaki manakala Jeffer Rosobin dan Misbun Ramdan Misbun akan membantu dalam perseorangan wanita. Berdasarkan senarai pemain bagi musim 2025 yang diumumkan BAM sebelum ini, skuad kebangsaan kini hanya dibarisi empat pemain perseorangan lelaki iaitu Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe dengan dua lagi pemain akan diserapkan daripada skuad remaja. Pemain perseorangan wanita juga terdiri daripada empat pemain iaitu K Letshanaa, Wong Ling Ching, Oo Shan Zi dan Siti Zulaikha Azmi. Jonassen memiliki reputasi besar selaku jurulatih apabila menjadi watak penting terhadap kejayaan yang dilakar pemain nombor satu Denmark, Viktor Axelsen. Di bawah bimbingannya, Axelsen berjaya memenangi pingat emas Olimpik pertamanya di Tokyo pada 2021 selain turut membantu pemain itu memenangi gelaran dunia pada 2017 di di Glasgow, Scotland. Dalam perkembangan lain, Subramaniam turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup BAM selepas dipersetujui secara sebulat suara oleh Ahli Majlis.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2024/11/1327833/tugas-besar-jonassen-bawa-pulang-emas-olimpik-los-angeles
|