|
'Kira duit siap-siap, keluarga 'Abang Bas' mahu ambil tindakan' - Peguam
MUAR: Keluarga 'Abang Bas' mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu, termasuk selebriti yang didakwa menimbulkan syak wasangka serta kecaman terhadap lelaki itu sepanjang ditahan polis akibat dituduh di mahkamah.
Peguam secara probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, berkata tindakan itu diambil selepas ahli keluarganya menerima kecaman daripada warganet susulan kes dihadapi 'Abang Bas'.
Namun begitu, beliau berkata, individu terbabit masih berkesempatan untuk membuat permohonan maaf kepada keluarga 'Abang Bas' sekiranya tidak mahu tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.
"Semuanya bergantung kepada subjek ahli keluarganya, sebab selama ini pelbagai kecaman dibuat di media sosial terhadap 'Abang Bas'.
"Sudah tentu kita sudah mengenal pasti mereka...ramai, keluarga mengarahkan mereka (warganet) disaman.
"Pecahlah mana-mana tabung yang ada, kira siap-siap jadi senang nak kira nanti. Selama ditahan, dia dikecam tanpa belas ihsan," katanya ketika ditemui selepas menjelaskan ikat jamin 'Abang Bas' di Kompleks Mahkamah Muar hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zaharil berkata, pihaknya berusaha untuk mendapatkan kembali bas yang dipandunya yang kini disita polis untuk siasatan lanjut.
Katanya, pada masa sama, mereka juga akan berusaha mengemukakan rayuan bagi mengurangkan ikat jamin yang dikenakan.
"Saya simpati dengan apa yang dilalui 'Abang Bas' dan selepas berjumpa dengannya saya minta dia bersabar kerana saya akan bantunya.
"Untuk mensabitkannya, kita jangan melihat daripada satu perspektif sebaliknya keseluruhan. Adalah tidak adil bila anda tidak mengenalinya (Abang Bas), tetapi membuat pelbagai andaian di media sosial," katanya.
Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau 'crush' dan 'kesayangan'.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Berdasarkan pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu merekodkan video ketika memandu bas sekolah, dengan wajah murid jelas kelihatan.
Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.
https://www.bharian.com.my/berit ... bil-tindakan-peguam |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|