|
Edited by Apai90 at 1-3-2017 08:05 PM
Seniman legenda, Jins Shamsuddin meninggal dunia
RABU, 1 MAC 2017 @ 7:00 PM
KUALA LUMPUR:
HULU KLANG: Seniman legenda, Tan Sri Jins Shamsuddin, 82, meninggal dunia di Klinik Idham di Taman Melawati, di sini, dipercayai akibat sesak nafas selepas tercekik kuih di kediamannya, petang tadi.
Anak kedua Jins, Putera Hang Jebat, mengesahkan bapanya meninggal dunia setibanya di klinik, kira-kira jam 5.45 petang.
"Ayah minum petang dan ketika hendak makan cekodok, ayah tercekik. Melihat keadaan ayah, Mak segera membawa ayah ke klinik berdekatan.
"Bagaimanapun, ayah disahkan meninggal dunia setibanya di klinik,," katanya kepada BH Online.
Hang Jebat berkata, dia dan adiknya, Hang Nadim masih terkejut dengan apa yang berlaku ke atas Allahyarham.
Ujar Jebat lagi, jenazah akan dibawa pulang ke rumah mereka malam ini (Rabu) untuk urusan seterusnya.
Menurut kenyataan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, industri telah kehilangan seorang lagi permata seni tanah air.
"Dukacita dimaklumkan bahawa industri hiburan Negara kehilangan seorang lagi permata seni tanah air iaitu Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin sebentar tadi di Klinik Idham Taman Melawati.
“Seniman juga menganggap kehilangan ini adalah kehilangan yang sangat besar oleh seluruh industri seni Negara,” menurut kenyataan itu.
Jins tinggal bersama isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah di Hulu Klang dekat sini dan keadaan kesihatannya kurang memberangsangkan selepas disahkan menghidap penyakit Alzheimer sejak 2011.
Allahyarham telah berlakon lebih 40 filem antaranya Sarjan Hassan, Gerak Kilat, Si Tanggang, Bukan Salah Ibu Mengandung dan Sumpah Wanita.
Manakala antara filem arahan Allahyarham adalah Menanti Hari Esok, Bukit Kepong, Ali Setan, Esok Masih Ada dan Balada.
Sumber : Berita Harian Online, Harian Metro Online , Astro Awani
|
|