Gejala rasuah dilihat semakin menjadi barah di sektor awam dan juga swasta di negara kita.
Malah, lebih memalukan lagi apabila Malaysia telah dinamakan sebagai antara enam negara yang mempunyai "skandal rasuah paling teruk" di dunia bagi tahun 2015. Anugerah itu diberikan oleh foreignpolicy.com iaitu sebuah bahagian di bawah Washington Post Company.
Laporan itu, antara lain menyatakan bagaimana pemimpin-pemimpin terpalit dalam skandal rasuah besar-besaran, hakim mahkamah tinggi dan juga mereka yang mengendalilakn industri bola sepak dunia.
Terbaru, satu lagi kes dipercayai berkaitan dengan rasuah mula tular di media sosial semenjak semalam. Video itu memaparkan dua anggota polis Unit Peronda Bermotosikal (URB) menerima wang suapan dari seorang warga asing dipercayai rakyat Pakistan.
Rakaman video berdurasi 1 minit 27 saat yang dirakam secara bersembunyi oleh individu yang tidak ingin dikenali itu menunjukkan dua orang anggota polis menahan seorang lelaki warga asing yang menunggang sebuah motosikal.
Tanpa banyak menyoal, salah seorang anggota polis mengambil bungkusan plastik yang mengandungi dompet warga asing tersebut. Kemudian, anggota polis itu menuju ke arah motosikal perondanya dan berpura-pura seperti sedang menulis saman.
Walaupun rakaman video agak tidak jelas, namun dapat dilihat anggota polis tersebut memasukkan sesuatu dipercayai wang kertas ke dalam peti kecil di bahagian belakang motosikalnya.
Sebaik sahaja anggota polis itu menyerahkan kembali bungkusan plastik kepada warga asing tersebut, lelaki warga asing itu kelihatan tersenyum dan kemudian terus beredar dari tempat kejadian.
Rata-rata netizen mengutuk keras perbuatan dua anggota polis ini. Ada juga yang menyarankan agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat mengenai dakwaan rasuah ini. - CARI
|