|
sumber: internet
Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohd Zawawi Zakaria, walaupun AKU 8055 ‘AKU BOSS’ adalah nombor pendaftaran yang paling digemari ramai, tetapi 'AKU 1' pula menjadi nombor pendaftaran dalam siri AKU yang memperolehi harga bidaan yang tertinggi sekali.
Memetik laporan The Star,keputusan bidaan nombor pendaftaran kenderaan untuk siri ‘AKU’ yang diumumkan semalam, didapati 'AKU 8055' memperolehi sebanyak 27 pembida dengan jumlah tertinggi pembidaan sebanyak RM74,000.
Manakala, harga tertinggi dalam siri AKU adalah AKU 1 iaitu sebanyak RM207,898.90.
Tambah Mohd Zawawi, pada mulanya dia beranggapan nombor pendaftaran yang seakan mirip dengan perkataan 'BOSS' seperti 8055 dan 805 akan memperolehi harga bidaan yang tertinggi, tetapi tidak menyangka, 'AKU 1' pula yang paling digemari orang ramai dengan nilai bidaan yang tertinggi.
Walau bagaimanapun, 'AKU 1' masih tidak dapat memecah rekod nilai bidaan yang paling banyak yang pernah dimiliki 'AKK 1' sebelum ini.
Dilaporkan berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan di Perak, nombor pendaftaran 'AKK 1' berjaya memperolehi harga pembidaan tertinggi iaitu sebanyak RM288,000 pada tahun lalu.
Untuk kebiasaan permohonan tender bagi JPJ Perak adalah sebanyak 500 hingga 600 penyertaan bagaimanapun bagi siri 'AKU' permohonan bertambah sebanyak lima kali ganda daripada biasa, ujarnya.
“Permohonan keseluruhannya adalah sebanyak 3,315 permohonan manakala bagi permohonan keseluruhannya yang telah diterima dan disemak adalah sebanyak 3,099 permohonan."
"Malah daripada 3,099 permohonan itu, sebanyak 23 permohonan telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat.”
Dilaporkan, sebanyak RM3.5 juta diraih Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menerusi bidaan nombor pendaftaran kenderaan ‘AKU’ tersebut.- CARI
|
|