"Saya cuma deactivate akaun Instagram saya buat seketika sahaja sebab bimbang menjadi ketagih.
Ibaratnya bercuti dari media sosial sekejap, bukan kena godam atau sabotaj pun."
Pelakon Zul Ariffin berkata demikian apabila tindakannya menyahaktifkan akaun Instagramnya pada awal Julai lalu, menjadi tanda tanya.
Menurut Astro Gempak, Zul, 31, menjelaskan tindakannya itu diambil kerana dia bimbang dirinya ketagih dengan media sosial.
"Saya mahu mengambil sedikit masa selama beberapa minggu untuk relaks dan sekarang saya aktifkan kembali akaun saya sebab keperluan daripada segi promosi produk saya misalnya filem lakonan saya yang terbaharu.
"Apabila beberapa minggu tanpa Instagram, saya rasa lebih tenang dan fokus dengan kehidupan sehari-hari," katanya kepada Astro Gempak.
Selain itu, Zul turut menegaskan komen negatif yang membanjiri ruangan komennya bukanlah punca dia menyahaktifkan akaun Instagramnya.
"Komen-komen itu tidak penting bagi saya apatah membuatkan saya rendah diri sampai mahu deactivate Instagram.
"Sekali sekala rasa kelakar apabila membaca balik komen-komen netizen.
"Saya pun sudah lebih 10 tahun dalam industri dan lali dengan komen-komen sedemikian. Nak balas pun tak guna sebab ia akan sentiasa ada," katanya.
Foto: IG Zul Ariffin
Nah, siapa yang tertanya-tanya, tu Zul dah bagi jawapan. Harap semua berpuas hati dengan jawapan Zul dan tak cetus spekulasi lain pula, okey? - CARI |