Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mendedahkan beliau tidak bertudung kerana dilarang suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Siti Hasmah berkata demikian ketika ditanya pemberita berkaitan larangan bertudung terhadap pekerja kaunter depan sesetengah hotel di negara ini.
“Saya fikir puan bertanya kepada orang yang salah.
“Saya tidak bertudung, daripada mula sampai sekarang ini saya tak bertudung,” katanya ketika ditanya dalam sidang media.
Beliau kemudian mendedahkan dirinya tidak bertudung kerana tidak mendapat keizinan suaminya.
“Suami saya larang saya bertudung. Bila bertudung kena minta kebenaran daripada suami.
“Saya ada teringin (bertudung) lepas balik dari Makkah, naklah ambik berkat, pakailah tudung, sampai dia (Mahathir) palingkan mukanya,” katanya.
Beliau sebelum itu merasmikan simposium “Siti Hasmah: Wanita pencorak masa depan negara” di Bukit Damansara anjuran Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Sementara itu, ditanya sama ada wajar atau tidak larangan hotel itu, Hasmah menjawab:
“Hotel ada dia punya undang-undang dan peraturan. Dia nak jaga juga dia punya perusahaan.
“Bagaimana dengan yang lain juga, ada yang mereka bertudung, ada tempat-tempatnya.
“Kalau dalam hotel banyak pelancong datang, tengok orang bertudung mungkin ada perasaan lain sebab dalam negara dia mungkin ada sesuatu perkara yg berlaku berkenaan orang pakai tudung, terutamanya di Eropah.
“Tengok macam Perancis,” kata Hasmah lagi.