Aktiviti karaoke memang menjadi kegemaran dan kebiasaan ramai terutama bagi mereka yang mahu melepaskan tekanan atau mahu meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan untuk mengeratkan lagi hubungan.
Namun malang bagi model berusia 28 tahun yang berasal dari Singapura ini apabila koma selama 3 hari sebelum meninggal dunia akibat menyanyi lagu bernada tinggi ketika berkaraoke bersama rakan-rakannya.
Gadis yang dikenali sebagai Karen Stella Wong adalah model terkenal terutama sekali di pameran kereta.
Dia yang ke pusat karaoke yang terletak di Neil Road pada 12 Disember lalu, tiba-tiba mengalami sakit kepala yang teruk kemudian turut mengadu kebas pada sebelah badannya.
Menyedari keadaannya, dia dikejarkan ke hospital oleh rakannya dan kemudiannya koma. Keadaan tersebut berlanjutan selama tiga hari sebelum doktor mengesahkan Karen meninggal dunia pada 15 Disember.
Menurut bapanya, doktor mengumumkan punca kematian adalah disebabkan oleh pendarahan dalaman yang teruk pada serebrum satu-satunya anak perempuannya itu.
Ibunya juga meluahkan perasaan sedih akibat kehilangan anaknya itu dilaman Facebook miliknya pada 21 Disember lalu:
"Sekiranya saya dapat mendengar suara dan senyuman manisnya, itu adalah permintaan terbesar saya pada hari Natal ini.."
Rakan-rakannya turut sedih dengan pemergian Karen dan menganggap dia seorang yang mempunyai personaliti yang manis dan menyenangkan.
Bagi mereka yang suka berkaraoke, hati-hatilah dalam memilih lagu yang bernada tinggi dan cepat-cepat rujuk kepada doktor sekiranya mengalami simptom-simptom seperti pening kepala dan kebas. - CARI |