LONDON - BRITAIN. Isteri Putera William, Kate Middleton, selamat melahirkan anak ketiga pasangan itu di Hospital St Mary, London, hari ini.
Menurut kenyataan Istana Buckingham, pewaris kelima takhta Britain itu dilahirkan pada 11.01 pagi waktu tempatan dengan berat 3.8 kilogram.
Putera William dikhabarkan turut berada di sisi isterinya sepanjang proses kelahiran.
Dua lagi anak pasangan diraja itu, George dan Charlotte turut dilahirkan di hospital yang sama.
“Ratu, Duke of Edinburgh, Putera Charles, Duchess of Cornwall, Putera Harry dan anggota kedua-dua keluarga dimaklumkan dan gembira dengan berita itu.
“Kate dan anak berada dalam keadaan sihat,” ujar kenyataan istana.
Bayi itu merupakan cicit keenam Ratu Elizabeth dan berada di belakang George, Charlotte, William dan datuknya, Putera Charles, sebagai pewaris takhta. - Reuters