DR Shaariibuu Setev iaitu bapa kepada model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh di negara ini pada 2006, kini berada di ibu negara dan dijangka berjumpa Peguam Negara, Tommy Thomas, hari ini.
Peguam beliau, Ramkarpal Singh, dalam satu jemputan media memaklumkan, beliau dan anak guamnya dijadualkan bertemu Peguam Negara pada jam 3 petang hari ini di Putrajaya dan akan mengadakan sidang media kira-kira 4.30 petang esok selepas perjumpaan terbabit.
"Antara tujuan perjumpaan ini adalah untuk memohon Peguam Negara yang baharu mempertimbangkan dengan serius supaya siasatan terhadap pembunuhan Altantuya dibuka semula," katanya yang enggan mengulas lanjut sehingga berjumpa dengan Peguam Negara.
Sebelum ini, Ramkarpal menyifatkan kesediaan kerajaan Australia untuk mengekstradisi Sirul Azhar Umar (yang disabit kesalahan membunuh Altantuya) balik ke Malaysia sebagai perkembangan positif yang baik untuk menegakkan keadilan terhadap Altantuya.
Beliau juga dipetik berkata, pihaknya akan memohon supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat motif di sebalik pembunuhan Altantuya.
Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia, Azilah Hadri dan Sirul Azhar.
Keputusan itu dicapai selepas mereka didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada tuduhan itu.
Bagaimanapun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta memutuskan bahawa Sirul Azhar dan Azilah bersalah dan menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 12:36 AM
kann.. kerajaan baru. tkut x mendapat kan. cpt2 amik tindakan. tamak. dlu anak tamak. ni bapak lak tamak. klu betul2 nak justice. xyah deal.. trus amik action. peringatan gak la utk laki2 kat lua tu. sebarangan la pangai. jd camni habis uma tangga punah ranah.