"Tahniah, ini bermakna dia (Zahid) disayangi UMNO dan
saya mengucapkan tahniah kepadanya, tetapi kami tidak akan
bekerjasama dengan mereka."
Berikutan keputusan pemilihan jawatan tertinggi UMNO pada Sabtu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana dipilih sebagai Presiden baru parti itu bagi penggal 2018-2021.
Foto: IG Zahid Hamidi
Bagaimanapun, mStar Online melaporkan, Perdana Menteri tidak bercadang bekerjasama dengan UMNO kerana beliau tidak dapat melupakan apa yang pernah dilakukan parti berkenaan terhadapnya sebelum ini.
"Mereka melakukan banyak perkara kepada kami pada masa lalu. Kami tidak dapat berbuat apa-apa, kami tidak dapat mengumpul sumbangan.
"Semua kawan saya tidak dapat mendekati saya. Mereka semua melarikan diri, meninggalkan saya sendiri,” katanya.
Menurut laporan, Dr Mahathir keluar dari UMNO pada 2016 berikutan tidak berpuas hati dengan parti itu yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Foto: Pikiran Rakyat
Beliau kemudian menubuhkan parti Bersatu, namun menghadapi pelbagai rintangan dalam mendaftarkan parti berkenaan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri kendalian Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu.
Manakala, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pula, Bersatu terpaksa bertanding di bawah logo PKR selepas penyertaannya digantung ROS. - CARI |