“Kami menolak cadangan tersebut dan menggesa Zainuddin
mohon maaf kepada rakyat Malaysia."
Sinar Harian melaporkan, Pengerusi Smart IQ Quranic Centre, Syahrul Haninah Mohd Salleh berkata demikian berhubung kenyataan melampau bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengenai sekolah tahfiz, baru-baru ini.
Foto: Smart Triple IQ/mStar Online
Zainuddin sebelum ini, menggesa supaya sekolah tahfiz ditutup kerana didakwa tidak memberikan masa depan kepada generasi baru Islam.
Syahrul, bagaimanapun menegaskan pelajar lepasan tahfiz dan institusi tahfiz di Malaysia hari ini lebih berjaya dan menonjol berbanding sebelum ini.
“Ramai pelajar lepasan tahfiz menjadi teknokrat dan profesional dalam pelbagai bidang seperti kedoktoran, kejuruteraan dan bidang profesional lain.
"Ramai juga menjadi pimpinan utama negeri dan negara, malah berjaya memimpin masyarakat dalam sektor kerajaan, jabatan, NGO termasuk dikenali di persada antarabangsa, seperti Dr Muhammad Afifi Akiti, pensyarah di Universiti Oxford,” katanya.
Tambahnya, pusat tahfiz boleh menerima teguran membina, bukan sebaliknya iaitu dengan meruntuhkan institusi berkenaan.
“Ibarat jika ada kelemahan pada rumah itu, jangan diruntuhkan. Sebaliknya, dilakukan penambahbaikan terhadap rumah itu. Jika diruntuhkan, untuk bangunkan semula belum tentu rumah baru itu sempurna.
"Begitu juga dalam institusi pendidikan berteraskan tahfiz, jika ada kelemahan, sama-sama kita bangunkan bukan meruntuhkan,” tegasnya.
Menurutnya, institusi berkenaan tidak lagi dipelopori individu sahaja, malah banyak yang sudah dilaksanakan kerajaan seperti sekolah menengah agama, Tahfiz Modul Ulul Albab (TMUA), Sekolah Berasrama Penuh berorientasikan Ulul Albab, MRSM Ulul Albab, serta pusat tahfiz kendalian yayasan serta kerajaan negeri.
Selain itu, pusat tahfiz kini mengalami reformasi dan semakin mendapat sambutan memberangsangkan.
"Ini dapat dibuktikan dengan jumlah calon temuduga yang ramai sehingga pengurusan sekolah terpaksa membuat tapisan ketat," ujarnya.
Bukankah lebih baik jika ditambah baik sistem pengurusan dan pelaksanaannya berbanding meruntuhkan institusi terbabit? - CARI |