Sebelum ini, sebuah jenama telefon pintar Huawei pernah didakwa menipu akibat penemuan data EXIF pada gambar sampel mereka yang ditemui di Google+.
Kali ini, mereka sekali lagi dikatakan menipu menerusi laman web Android Police bagi promosi keluaran terbaru mereka, Nova 3.
(sumber foto: Android Police)
Iklan berdurasi 30 saat itu menampilkan seorang lelaki dan wanita berswafoto kononnya menggunakan model terbaru keluaran syarikat telefon pintar berkenaan dan hasilnya kelihatan amat menakjubkan.
Tetapi, menerusi gambar yang 'dicedok' dari Instagram salah seorang pelakon iklan tersebut yang kemudiannya telah dipadamkan, ternyata mereka menghasilkan foto tersebut menggunakan kamera DSLR!
Foto: u/AbdullahSab3 (Reddit)
Malah, terdapat tiga lagi foto di dalam iklan tersebut yang mempromosikan kehebatan menggunakan kamera untuk model terbaru itu juga dipercayai dirakam menggunakan kamera DSLR yang berteknologi tinggi.
Menurut laman web itu lagi, wakil dari jenama telefon pintar itu telah menghubungi mereka dan menjelaskan bahawa tujuan iklan itu adalah untuk menunjukkan bagaimana pengguna boleh menggunakan ciri-ciri model terbaru mereka sahaja.
Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan pada pengakhiran video mereka, hasil tangkapan produk itu adalah sebagai rujukan semata-mata.
Terpulang pada anda untuk mempercayai mereka atau tidak, buatlah pilihan bijak ketika membeli. - CARI |