Apabila bercakap tentang kecantikan, ia secara tidak langsung akan merujuk kepada kaum wanita. Ini kerana, ramai kaum wanita yang sangat menitikberatkan kecantikan luaran dan dalaman mereka. Ramai wanita tidak sanggup melihat wajah mereka berjerawat, kulit kusam dan gelap serta saiz badan yang semakin mengembang. Jadi, tidak hairanlah ramai wanita yang mencari produk dan rawatan yang boleh membuatkan diri mereka kelihatan cantik dan menawan walaupun terpaksa menanggung pelbagai risiko.
Sudah banyak kejadian buruk yang dilaporkan akibat keracunan bahan atau kesan bahaya sesuatu produk. Tetapi nampaknya masih ramai yang belum celik dan mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku kerana begitu taksub untuk kelihatan cantik dan sihat kononnya.
Seorang pengguna twitter memuat naik satu status tentang kaedah yang digunakan oleh sebuah syarikat yang menjual produk kecantikan dan kesihatan. Terang terangan kaedah suntikan dan drip tidak mendapat kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tujuan kecantikan tetapi masih ramai netizen yang berani menanggung risiko. Wanita ini tertanya-tanya entah apa keperluan air garam yang dikatakan boleh merawat pelbagai masalah kulit seperti jerawat, melancarkan darah dan sebagainya yang perlu diminum serta dimasukkan ke dalam saluran darah sebagaimana pesakit yang menjalani rawatan di hospital.
Sebijik macam Normal Saline kat hospital je?
Ada netizen yang was-was tentang air garam yang dimaksudkan oleh wanita yang menerima rawatan kecantikan di syarikat tersebut. Menurut video yang dilihatnya, dia pasti yang air garam yang dimaksudkan adalah Normal Saline (NS) yang sama yang diberikan kepada pesakit-pesakit di hospital.
Kalau tak tau jangan kecam!
Turut berlaku perbalahan antara netizen yang menerima kaedah rawatan tersebut. Sepatutnya wanita yang menaikkan status ini perlu menghubungi terus pihak yang terlibat dengan rawatan drip air garam ini dan mengetahui dengan lebih lanjut. Bukan terus mengecam dan membuat tuduhan melulu.
Kenapalah masih bodohkan diri?
Netizen turut berasa kesal kerana masih ramai orang yang suka membodohkan diri menerima rawatan kecantikan dan kesihatan sebegitu daripada individu yang tidak bertauliah. Berani betul mereka meletakkan diri dalam keadaan berisiko walaupun telah banyak kes-kes yang dilaporkan.
Takde penyakit, cari penyakit
Ramai netizen yang tahu rawatan sebegitu boleh membahayakan kesihatan dan juga nyawa. Mereka berharap agar tindakan sewajarnya diambil oleh pihak bertanggungjawab agar ia tidak disalah guna oleh pengasas rawatan dan produk yang ingin mengaut keuntungan semata-mata.
Benarlah pepatah yang mengatakan, cantik itu menyakitkan. Tetapi jika kesakitan yang dimaksudkan itu boleh membuat diri kalian merana seumur hidup dan menempah ajal, biarlah tidak menjadi cantik sekalipun. Bersyukurlah dengan apa yang ada dan jagalah kesihatan dan kecantikan dengan cara yang betul dan selamat. Setuju tak? - CARI |