|
KUALA TERENGGANU - Padah menumbuk penyelianya hanya kerana tidak berpuas hati permohonan cuti tidak diluluskan, seorang pemandu klinik kesihatan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan penjara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
Hukuman itu diputuskan Hakim, Datuk Zainal Azman Ab Aziz sekali gus mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret Besut terhadap tertuduh, Mohd Khairul Ahman Mohammad, 42 dari Jertih, Besut pada 13 September 2017.
Sebelum ini, tertuduh yang didapati bersalah dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM2,000 mengikut Seksyen 173A Kanun Prosedur Jenayah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya memohon semakan semula hukuman terhadap tertuduh kerana menganggap hukuman dikenakan sebelum ini tidak memadai.
Terdahulu, Zainal Azman dalam penghakimannya berharap kes berkenaan menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat luar supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya tidak berpuas hati dengan pihak atasan dan seharusnya menggunakan saluran yang ada.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Penolong Pegawai Kesihatan, Mohd Hushairi Mokhtar, 43, di Pejabat Kesihatan Besut, Bangunan Wisma Persekutuan, Besut, jam 2.32 petang pada 15 Ogos 2016.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Yusof Majid.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|