JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan disahkan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria di daerah ini 2 hari lepas.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan berkata kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarganya enggan menerima imunisasi.
“Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Oktober dan dibawa oleh ibunya mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 11 Oktober.
“Keesokan harinya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke unit kecemasan hospital kerana sesak nafas dan hilang selera makan. Pesakit dimasukkan ke wad kanak-kanak dan seterusnya dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik pada 13 Oktober kerana keadaan semakin lemah dan memerlukan bantuan pernafasan,” kata kementerian itu.