Hanneeyzah Bariah Baharin
[email protected]
KERANA cinta tidak direstui keluarga si gadis, lelaki dipercayai melarikan sebelum merogol teman wanitanya berusia 14 tahun.
Bagaimanapun, tindakan suspek berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu, berusia 42 tahun itu membawa padah apabila dia ditahan polis dalam Ops Lejang, semalam.
Ketika ditahan, remaja terbabit turut bersama suspek sebelum diserahkan kepada keluarganya.
Sumber berkata, suspek ditahan di tepi Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, selepas bapa mangsa dari Kota Bharu, membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya yang dipercayai lari mengikut teman lelaki.?
Katanya, suspek dipercayai bertindak membawa lari mangsa selepas hubungan cinta mereka tidak direstui keluarga si gadis kerana remaja itu masih muda dan bersekolah.
“Tindakan suspek adalah satu kesalahan kerana membawa lari remaja bawah umur.
“Ia menyebabkan bapa mangsa yang bimbang keselamatan anaknya membuat laporan polis sehingga suspek berjaya ditahan.
“Malah, bapa mangsa turut mengesyaki anaknya bukan sahaja dilarikan, tetapi juga menjadi mangsa rogol lelaki berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol bawah umur.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 4:10 PM