“Mungkin ada yang menganggap saya seperti meraih simpati apabila tiada tawaran berlakon hingga sanggup buat ulasan produk atau perkhidmatan di Instagram."
Pelakon Noorkhiriah tidak kisah dengan pandangan negatif orang ramai yang menyindir dia membuat ulasan produk di laman sosial kerana sudah 'sendu'.
“Saya percaya apa yang dibuat pasti memberi perspektif baik atau buruk kepada orang yang melihatnya.
“Tak kisahlah apa orang nak cakap, saya hanya cuba memanfaatkan ruang dan peluang yang ada sebaik mungkin,” katanya kepada BH Online.
Norkhiriah Ahmad Shafie, 42, yang sering membuat ulasan dengan gaya bersahajanya yang melucukan bersyukur kerana ulasannya di Instagram mendapat sambutan positif.
“Saya hanya menghebahkan sesuatu barangan atau servis dengan kelebihan yang ada. Selebihnya, saya percaya rezeki sudah tertulis untuk kita semua.
“Syarikat produk atau perkhidmatan memberitahu mereka mendapat perhatian yang lebih hasil perkongsian saya. Itu sudah membuatkan saya bersyukur. Setidak-tidaknya, perniagaan mereka maju dan ada rezeki dikongsi,” katanya.
Kredit foto: IG Norkhiriah
Norkhiriah mengakui ada menerima tawaran berlakon, tetapi memilih untuk menolaknya dan hanya menunggu penggambaran drama Nur 2 dimulakan.
"Saya sangat teruja kembali ke set penggambaran drama itu, tidak lama lagi,” ujarnya.
Kenapa orang selalu cakap seseorang artis itu sudah sendu dan tidak lagi laku kalau membuat ulasan produk di laman sosial? Rasanya, ramai lagi artis yang masih aktif turut membuat ulasan di laman sosial, kan? - CARI |