Lima beradik berada dalam keadaan gusar selepas ditinggalkan oleh ibu kandung sendiri di sebuah pusat jagaan di Alor gajah sejak September tahun lepas.
Kesemuanya yang berumur antara enam hingga 12 tahun ditinggalkan di Pusat Jagaan Kasih Sayang Angel sebelum ibunya menghilangkan diri entah ke mana.
Kosmo Online melaporkan, alasan yang siberikan ibunya adalah untuk mencari saudara-mara di Johor Bahru namun sampai sekarang masih belum muncul.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah, Ansharey Matasarsad berkata,
"Dia (wanita terbabit) hanya memberitahu akan mengambil semula anak mereka selepas kembali dari Johor Bahru secepat mungkin, namun sehingga hari ini dia hilang tanpa berita.
"Bagaimanapun, pada masa sama bapa kepada anak-anak ini ada menghubungi, namun mereka tidak sesuai diletakkan di bawah jagaan lelaki berkenaan kerana sebelum ini dia terbabit dalam kesalahan gangguan seksual."
Kredit foto: Sinar Online
Mahkamah Majistret Alor Gajah telah memerintahkan kanak-kanak itu berada di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (pindaan 2016) yang dibicarakan pada 14 Januari lalu.
"Buat masa ini, perintah jagaan berada di bawah pengusaha Pusat Jagaan Kasih Sayang Angel dan anak-anak ini juga masih menantikan kepulangan ibu mereka.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita terbabit bolehlah menghubungi Pegawai JKM Alor Gajah atau pelindung kanak-kanak ditalian 06-5561267." -CARI |