Siapa kat sini peminat filem-filem superhero dari Marvel? Mesti korang semua tak sabar nak tunggu filem Captain Marvel dan Avengers: Endgame, kan? Tapi tunggu kejap, korang tahu tak Marvel sebenarnya ada projek besar yang lain, selain daripada bikin filem blokbuster? Dengan kerjasama Disney dalam streaming channel mereka sendiri iaitu Disney+, produser dan presiden kepada Marvel Studios iaitu Kevin Feige memaklumkan yang mereka mempunyai projek untuk melaksanakan cerita bersiri bagi beberapa superhero mereka.
Apa yang bakal ditayangkan di Disney+ ialah superhero yang kita sudah sedia maklum akan kewujudannya, cuma kali ini kita akan disajikan dengan cerita spin-off daripada mereka, yang tidak terlalu berteraskan apa yang kita lihat di pawagam sebelum ini. Kevin Feige turut mengesahkan bahawa siri-siri baru ini akan membawa impak besar kepada perjalanan Marvel Cinematic Universe (MCU). Antara cerita bersiri yang bakal kita saksikan termasuklah..
1. Loki
 Kredit Foto: Europosters.com
Jika korang belum jelas tentang siapa Loki, dia merupakan adik kepada salah satu superhero utama Marvel iaitu Thor Odinson. Dikenali sebagai God of Mischief, Loki sebelum ini lebih dikenali sebagai penjahat berbanding hero memandangkan dia merupakan antagonis utama bagi filem Thor dan The Avengers. Namun selepas kejadian dalam filem ketiga Thor iaitu Ragnarok, Loki lebih cenderung kepada seorang hero dan berjuang bersama-sama abangnya. CEO kepada Disney iaitu Bob Iger mengesahkan bahawa siri spin-off bagi watak Loki, dilakonkan oleh pelakon yang sama iaitu Tom Hiddleston kini dalam perusahaan mereka.
2. Winter Soldier and Falcon
Kredit foto: Engadgetment.com
Kedua-dua rakan karib kepada superhero terkemuka iaitu Captain Amerika ini bakal dipasangkan dalam satu siri pendek. Kita jarang sekali melihat kombinasi kedua-dua hero ini kecuali ketika mereka menentang Spiderman dalam filem Captain America: Civil War. Setakat ini, dikhabarkan bahawa siri ini akan ditulis oleh Malcolm Spellman dan dibintangi oleh pelakon yang sama iaitu Anthony Mackie sebagai Falcon dan Sebastian Stan sebagai Winter Soldier. Siri ini bakal ditayangkan pada hujung tahun ini.
3. The Vision and Scarlet Witch
Kredit foto: Screenrant.com
Chemistry antara kedua-dua watak ini tidak dapat kita nafikan lagi, seperti yang kita dapat lihat melalui filem Captain America: Civil War dan Avengers: Infinity War. The Vision (lakonan Paul Bethany) dan Scarlet Witch (lakonan Elizabeth Olsen) merupakan antara pasangan superhero yang terkenal dalam dunia komik Marvel, selain Reed Richards dan Sue Storm dalam Fantastic Four. Menurut sumber The Hollywood Reporter, Disney telah melantik Jac Schaeffer sebagai produser eksekutif bagi siri ini. Jac Schaeffer juga sama-sama terlibat dalam menulis filem Captain Marvel yang bakal ditayangkan di pawagam pada Mac ini.
4. Rocket and Groot
Kredit foto: revengeofthefans.com
Peminat tegar MCU pastinya mengenali duo dari filem Guardians of The Galaxy ini. Melalui siri ini, kita mungkin dapat tahu dengan lebih jelas di mana sebenarnya duo ini boleh bertemu antara satu sama lain dan bagaimana persahabatan mereka bermula sebelum mereka bertemu ahli Guardians yang lain. Menurut sumber The Hashtag Show, siri ini sedang dipertimbangkan oleh kedua-dua pihak Marvel dan Disney dan menjadi antara pilihan utama presiden kepada MCU, Kevin Peige untuk dilaksanakan.
5. Lady Sif
Kredit foto: spotern.com
Sif merupakan seorang handal pahlawan dari Asgard, juga merupakan sahabat karib bagi superhero Thor. Melalui filem Thor dan Thor: The Dark World, kita dapat lihat jelas tentang kekuatan Sif ketika berperang namun Sif tidak dapat dikesan sepanjang filem ketiga Thor, iaitu Ragnarok. Menurut sumber Discussing Film, Marvel sedang mengusahakan siri pendek Lady Sif yang akan dilakonkan oleh Jamie Alexander, namun tidak ada khabar angin yang mengatakan bahawa garis masa kepada siri itu berlaku sebelum atau selepas Ragnarok, iaitu kehancuran tanah Asgard.
Jadi antara kelima-lima cerita siri ni, mana satu yang paling korang semua nantikan? Sama-sama kita tunggu pengumuman seterusnya daripada Marvel dan Disney, orait? - CARI |