Jennifer Aniston mempunyai zodiak Aquarius. Kredit foto: Mirror
Mereka yang dilahirkan dalam bulan Januari atau Februari bukan sahaja menyambut ulang tahun kelahiran lebih awal berbanding rakan-rakan sebaya malah dikatakan mempunyai peluang lebih cerah untuk menjadi selebriti.
Menurut laporan Mirror pada 17 Januari lalu, mereka yang dilahirkan dalam dua bulan tersebut serta mempunyai bintang zodiak Aquarius lazimnya menjadi kaya dan terkenal.
Journal of Social Sciences mendapati sebahagian besar bintang Hollywood dilahirkan antara 20 Januari dan 18 Februari.
Sekumpulan penyelidik yang menjalankan kajian itu memilih secara rawak individu dari pelbagai latar belakang termasuk ahli politik, ahli sains, penulis, bintang sukan, penyanyi, pelakon dan selebriti pada masa silam dan sekarang.
Bermula dengan saiz sampel sebanyak 100 orang sebelum ditambah kepada 200 dan seterusnya 300 orang, mereka mendapati sebahagian besar selebriti mempunyai zodiak Aquarius.
Individu dengan zodiak tersebut mempunyai ciri-ciri seperti bertenaga, imaginatif dan berdikari sekali gus menjadikan mereka cenderung menyertai bidang yang berkaitan dengan kreativiti.
Cristiano Ronaldo dilahirkan pada 5 Februari 1985. Kredit foto: Getty
Antara selebriti yang mempunyai zodiak Aquarius ialah Jennifer Aniston, Oprah Winfrey dan Cristiano Ronaldo.
Kajian lain yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Kebangsaan United Kindom (ONS) pula mendapati mereka yang dilahirkan dalam bulan Januari lazimnya menjadi doktor dan ketua pegawai eksekutif (CEO).
ONS turut merumuskan lebih ramai artis dilahirkan dalam bulan Februari berbanding bulan-bulan lain.
Walaupun anda dilahirkan dalam bulan Januari dan Februari, tidak semestinya anda menempa kejayaan secara automatik dalam hidup jika hanya duduk goyang kaki tanpa berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh. - CARI |