|
Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mendedahkan pelakon terkenal, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta setakat ini masih belum melunaskan baki hutang tertunggaknya dengan agensi itu berjumlah RM443,392.
Susulan itu, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menafikan dakwaan pelakon itu sebelum ini kononnya semua hutang pinjaman perniagaan yang diterimanya daripada Mara berjumlah hampir RM1 juta sudah dibayar sepenuhnya.
Beliau berkata, setakat 18 Februari lalu, Rozita membayar hutangnya berjumlah RM689,307.59 dengan kira-kira RM150,000 bayaran secara tunai di pejabat Mara, manakala selebihnya secara transaksi secara dalam talian menerusi akaun.
Katanya, bayaran itu dibuat pelakon terbabit bagi menangguhkan tindakan pelaksanaan penghakiman diambil Mara untuk mahkamah melelong hartanya yang kemudian boleh menyebabkan kebankrapan.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya memberi tempoh akhir bayaran itu perlu dijelaskan sepenuhnya sebelum akhir bulan ini dan tindakan tegas terhadap Rozita diambil agensi itu sama seperti dikenakan kepada peminjam lain yang gagal membayar semula pinjaman mereka hingga menyebabkan MARA menanggung pinjaman tidak berbayar (NPL) mencecah 49.6 peratus.
"Rozita belum bayar habis hutangnya dengan Mara dengan baki tertunggak berjumlah RM689,307.59 yang perlu dilunaskan sepenuhnya sebelum 31 Mac ini.
"Jadi, dakwaan kononnya pelakon itu sudah melangsaikan semua hutangnya dengan Mara adalah tidak benar. Jika dikira, baki hutang Rozita itu jika dibayar boleh menampung hampir 50 pelajar yang belajar di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).
"Saya tegas dan tidak berkompromi dengan sesiapa juga yang berhutang dengan MARA termasuk artis atau golongan ternama supaya membayar balik pinjaman mereka kerana ia duit rakyat yang boleh digunakan bagi membantu pelajar dan usahawan lain yang memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Rozita dua minggu lalu yang memaklumkan sudah menjelaskan semua hutang tertunggaknya dengan Mara.
Pada 10 Disember tahun lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya diserbu pegawai Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta yang dibuatnya pada 2017.
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|