Di Malaysia, kita melihat lambakan warga asing yang datang ke sini untuk mencari pekerjaan. Malaysia digelar syurga pekerjaan bagi golongan mereka.
Namun, dalam pada itu, ada juga rakyat Malaysia yang sanggup ke negara lain demi mencari sesuap nasi. Adakah di Malaysia sudah tiada ruang pekerjaan untuk rakyat tempatan?
Terkini, sejumlah 47 orang rakyat Malaysia ditahan di Phnom Penh, Cambodia akibat tidak mempunyai permit kerja di sana. Mereka rupa-rupanya telah diperdayakan oleh sebuah agensi pekerjaan yang menjanjikan bayaran lumayan.
Kredit foto: freemalaysiatoday
Polis Cambodia menahan mereka kerana mengesyaki mereka terlibat dalam sindiket gaming antarabangsa, lalu memaklumkan kepada pihak kedutaan Malaysia di sana.
Pihak kedutaan Malaysia mendapati tahanan yang termasuk 9 wanita ini, majoriti mereka adalah dari Sabah dan Sarawak, dan berasal daripada keluarga yang miskin. Mereka juga sedang menunggu untuk bekerja secara sah mengikut perjanjian dari agensi terbabit.
Identiti agensi berkenaan masih belum dapat disahkan sekiranya ia dikendalikan oleh rakyat berbangsa Cina atau jika ia melibatkan pemerdagangan manusia yang menyalahi undang-undang.
Walau bagaimanapun, pihak kedutaan Malaysia sedang mengusahakan rundingan agar tahanan ini dapat dibebaskan kerana jika tidak, mereka mungkin akan dipenjarakan sehingga tiga tahun tanpa perbicaraan. Pihak keluarga mangsa menyatakan kerunsingan terhadap ahli keluarga masing-masing.
Semoga semua tahanan rakyat Malaysia dapat dibebaskan dan diharap perkara sebegini tidak berulang lagi. Usah percaya dengan janji manis agensi pekerjaan tanpa usul selidik kerana sudah ramai yang tertipu! - CARI |