|
Imej dan video terbaharu Ainul yang dikongsikan di media sosial
Hati ibu mana yang tidak gembira melihat penderitaan anak kecil telah berakhir. Demikian perasaan ibu kepada Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, yang selamat menjalani pembedahan membuang tumor pada Isnin lalu.
Lebih menggembirakan, bayi berusia lapan bulan itu yang telah sedar, seolah-olah telah boleh berborak dengan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, dalam satu video yang dikongsikan oleh bapanya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24.
Dalam video di Facebooknya itu, Ainul Mardiah seakan akan berkomunikasi dengan ibunya yang kelihatan sedang mengagahnya.
Astro Awani melaporkan, video berdurasi 39 saat itu turut menggunakan musik latar lagu yang sama dengan nama bayi berkenaan, yang dipopularkan kumpulan UNIC.
Jelas dilihat dalam video berkenaan, Ainul Mardhiah seakan tersenyum dan memberi reaksi setiap kali diagah ibunya. Matanya hampir tidak berkelip dan tetap memandang wajah ibunya.
Sementara itu, kisah Ainul Mardhiah nyata berjaya merapatkan netizen di negara ini. Menerusi komen komen di Facebook Ahmad Safiuddin, rata rata netizen berkata, kisah penderitaan Ainul Mardhiah sebelum ini telah menyatukan hati rakyat Malaysia.
Pemilik akaun Sinyee Eng menulis, "kemarahan menimbulkan pertengkaran, kasih sayang menghasilkan harmoni, baby Ainul istimewa menyentuh semua rakyat Malaysia, bersatu hati."
Hasnolazuan Sani pula berkata, "berjuta orang mendoakan untuk baby Ainul, Tuhan hantar seorang gadis kecil untuk menyatukan kita semua."
Hisham WC dalam pada itu berkata, "bayi kecil ini menyatukan kita semua tidak kira bangsa."
Pemilik akaun Hasliza Leeza sementara itu pula menulis, "Semua bersatu hati mendoakan kamu Ainul sayang.."
Malah, sebuah fan page Facebook tidak rasmi yang mengemaskini keadaan Ainul Mardhiah juga telah diwujudkan. Page dengan nama Doa Untukmu Ainul kini telah diikuti lebih 27,000 orang.
Ainul pada Isnin telah melalui pembedahan selama lima jam di sini, untuk membuang tumor seberat 200 gram dimulutnya akibat germ cell tumor. - CARI |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|