Aksi monyet merampas tin minuman, makanan, telefon pintar atau kamera pelancong sewaktu bergambar adalah kejadian biasa di kebanyakan tempat tumpuan ramai.
Namun, ada seekor monyet di Bali, Indonesia sempat meninggalkan satu momen lucu untuk sebuah keluarga pelancong dari Australia.
Memetik laporan Daily Mail, keluarga dari kawasan pinggir bandar Sunshine Coast di Queensland itu melawat ke Hutan Monyet Ubud di Bali semasa bercuti di situ.
Judy, berumur 37 tahun dan suaminya, Simon, 36, bersama tiga anak mereka iaitu Elijah, 13, Jimmy, 11, dan Kayleigh, 8, melawat kawasan hutan yang didiami beratus-ratus ekor monyet.
Seekor monyet memberi isyarat jari tengah kepada sebuah keluarga di Bali, Indonesia. Kredit: DailyMail/Caters News Agency
Keluarga itu meminta pertolongan seorang pemandu pelancong untuk merakam gambar mereka sebelum tergamam melihat aksi lucah monyet tersebut.
Semasa membelek semula gambar-gambar yang dirakam dalam kamera, Judy yang bekerja sebagai seorang kakitangan pentadbiran berkata, keluarganya ketawa sebaik menyedari aksi rakaman itu.
Monyet ini muncul dan merakam swafoto berlatarbelakangkan keluarga Judy. KreditailyMail/Caters News Agency
Judy berkata: "Kami berada di Bali selama seminggu dan merasakan ia agak menyeronokkan untuk membuat lawatan sepanjang hari di sekitar Bali.
"Sebahagian daripada lawatan, kami ke hutan monyet. Saya anggap ia pasti pengalaman menarik.
"Semasa di sana, seorang pemandu pelancong tawar diri untuk rakam gambar kami. Ketika dia berbuat begitu, seekor monyet secara tiba-tiba muncul depan kamera," cerita Judy.
Wanita itu berkata, pemandu pelancong itu turut memberi sejumlah kacang kepada monyet berkenaan.
Seekor monyet duduk atas bahu Elijah di Bali. Kredit: DailyMail/Caters News Agency
"Semasa saya membelek gambar-gambar rakaman selepas itu, saya sedar salah satunya menunjukkan monyet itu sebenarnya memberi jari tengah kepada kami," katanya.
Laporan menyatakan gambar kenangan itu diambil semasa percutian sekeluarga di Bali pada Disember 2018 tetapi dikongsi secara online minggu ini.
"Saya muat naik gambar ini di Facebook dan Instagram, semua ahli keluarga serta kawan-kawan melihatnya sebagai melucukan," menurut Judy. -CARI |