Seorang penyiasat dari Malaysia memeriksa serpihan pesawat MH17 di lokasi ia terhempas sekitar Julai 2014. Kredit foto: Reuters
Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) insiden penerbangan MH17 akan mengumumkan prosiding jenayah terhadap beberapa suspek yang disyaki terlibat menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu pada 19 Jun ini.
Pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh semasa terbang di ruang udara wilayah yang dikuasai pemberontak pro-Rusia dekat Donetsk, Ukraine pada 22 Julai 2014 serta mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapalnya.
Kira-kira dua pertiga daripada semua mangsa adalah warga Belanda.
Imej yang menggambarkan pesawat MH17 ditembak peluru berpandu seperti yang dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda. Kredit foto: Sky News
Memetik laporan Reuters pada 15 Jun, perkara itu didedahkan oleh dua stesen penyiaran terkemuka di Belanda iaitu RTL dan NOS dengan memetik sumber yang tidak didedahkan identitinya.
Walau bagaimanapun, nama-nama suspek tidak dinyatakan dalam laporan RTL dan NOS.
Para pendakwa raya Belanda menyatakan JIT yang dianggotai pegawai-pegawai dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine itu akan membentangkan penemuan terkini kepada media dan waris-waris mangsa pada 19 Jun.
Namun, seorang jurucakap bagi perkhidmatan pendakwaan Belanda enggan memberi butiran terperinci tentang perkara yang bakal diumumkan.
Serpihan pesawat MH17 di lokasi ia terhempas. Kredit foto: EPA-EFE
JIT sebelum ini menjelaskan, sistem peluru berpandu yang dipercayai digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 dikaitkan dengan Briged Antipesawat Ke-53 Rusia yang berpangkalan di Kursk.
Pegawai-pegawai penyiasat menyatakan, langkah seterusnya adalah mengenal pasti dalang-dalang di sebalik insiden berkenaan dan mendakwa mereka di bawah undang-undang Belanda.
Memandangkan Rusia dijangka tidak akan menyerahkan suspek-suspek yang mungkin berada di negara berkenaan, pihak berkuasa memberitahu, perbicaraan boleh dilakukan tanpa kehadiran mereka.
Kalau suspek tidak hadir semasa perbicaraan, bagaimana pula hukuman boleh dijatuhkan terhadap mereka? - CARI |