Kredit foto: Arab News
Tindakan Pejabat Menteri Pertahanan mengeluarkan kenyataan media untuk menegur Malaysia Airlines (MAS) berhubung isu kelewatan pesawat yang dinaiki Mohamad Sabu nampaknya memakan diri sendiri.
Ramai netizen mempersoalkan kewajaran kenyataan yang menyalahkan MAS atas kegagalan Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu untuk bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di London, United Kingdom seperti yang dijadualkan pada 16 Jun lalu.
Kredit foto: Facebook rasmi Menteri Pertahanan
Mohamad Sabu merakamkan kenangan bersama Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly serta pegawai-pegawai tinggi tentera kedua-dua negara.
Kredit foto: Kementerian Pertahanan
Pejabat Menteri Pertahanan kesal kerana pesawat MAS berlepas dari Kuala Lumpur dua jam 30 minit lebih lewat daripada waktu yang dijadualkan pada 15 Jun.
Kenyataan itu menyebabkan Mat Sabu ditempelak netizen yang rata-ratanya mempersoalkan mengapa beliau terlalu kemaruk untuk berjumpa dengan Dr Mahathir di London sedangkan mereka boleh berbuat demikian di Putrajaya.
Kredit foto: Facebook
Mereka juga percaya MAS mempunyai alasan kukuh untuk menunda masa perlepasan pesawat terbabit seperti melakukan penyelenggaraan.
Malah, ada yang memuji tindakan MAS kerana lebih mengutamakan keselamatan pesawat dan penumpang berbanding rungutan seorang menteri Kabinet yang tergesa-gesa mahu memenuhi temu janjinya.
Kredit foto: Facebook
Netizen turut mempertikaikan sama ada perlu bagi Pejabat Menteri Pertahanan untuk mengeluarkan kenyataan tersebut memandangkan isu yang dibangkitkan dianggap remeh.
Sedangkan, kata mereka, ada banyak lagi isu pertahanan negara yang perlu ditangani dan lebih penting berbanding masalah kelewatan penerbangan yang dialami Menteri Pertahanan itu.
Kredit foto: Facebook
Tidak semua rungutan boleh disuarakan secara terbuka lebih-lebih lagi melalui media sosial kerana jika tidak kena gayanya, memang teruk dijadikan bahan lawak oleh netizen. - CARI |