Berita mengenai Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah membantu mangsa kemalangan terus diperkatakan sepanjang hari ini.
Menariknya, mangsa turut terkejut apabila yang datang memberi bantuan kepadanya merupakan baginda sultan sendiri.
"Saya ingatkan polis datang nak tengok keadaan (kemalangan). Apabila saya tengok payung kuning dan nampak ada yang memakai songkok dengan lilitan putih, saya tahulah kehadiran (Yang di-Pertuan) Agong di situ,” kata Jasliza Jamil, 38.
Memetik laporan Harian Metro, baginda tiba di lokasi kira-kira 10 minit selepas kemalangan tersebut berlaku.
Kredit foto: Harian Metro
"Saya trauma ketika itu dan masih duduk di dalam kereta serta tidak bergerak. Ketika itu, kawan sepejabat juga sudah sampai ke tempat kejadian.
“Baginda bertanyakan adakah saya cedera dan menitahkan supaya dibawa ke hospital jika cedera. Baginda berada di tempat kejadian lebih kurang lima minit sebelum meneruskan perjalanan,” kata Jasliza lagi.
Dalam pada itu, wanita itu berkata dia turut membuat laporan polis susulan insiden kemalangan itu dan juga mendapatkan rawatan di klinik.
“Alhamdulillah, semua dipermudahkan malah, pegawai istana pun ada yang bertanyakan saya susulan kejadian itu... apa bantuan diperlukan semua. Kiranya, tidak habis di tempat kejadian,” ujarnya. - CARI |