Zuraida Kamarudin mendakwa sesetengah pihak menunjukkan tanda-tanda gelabah dan panik susulan penahanan tiga lagi individu membabitkan kes video seks songsang mengaitkan seorang menteri kanan.
Utusan melaporkan, Naib Presiden PKR itu mempersoalkan tindakan sesetengah ahli politik yang mengeluarkan kenyataan sedangkan siasatan yang sedang dijalankan menghampiri kemuncak.
Kredit foto: The Borneo Post
“Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin politik kanan berkaitan siasatan video seks yang sedang berlangsung, bahawa pihak yang sedang disiasat perlu mengambil cuti daripada jawatan kerajaan yang disandang dan secara terpilih menekankan kepada keaslian video tersebut.
“Sedang siasatan pihak polis makin menjurus menghampiri dalang disebalik kes ini, terdapat tanda-tanda gelabah dan panik yang jelas dikalangan sesetengah pihak,” katanya seperti dipetik Utusan.
Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menggesa pemimpin berkaitan kes berkenaan mengambil cuti sehingga siasatan selesai.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Utama menyifatkan tindakan itu penting bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa pemimpin tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi dan kedudukan dalam parti serta menjadikan Perdana Menteri sebagai perisai.
Tambah Zuraida, beliau menghidu sikap pilih kasih menerusi komen dibuat, sekali gus mendesak semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan bersifat mementingkan diri dengan agenda peribadi. - CARI |