Dunia sedang ligat berputar menuju ke arah globalisasi, tapi masih ramai lagi yang tercicir dari arus pendidikan semasa. Tidak percaya? Masalah ini bukan dihadapi di Malaysia sahaja, ia turut dihadapi di seluruh dunia.
Bukan hanya tidak selari dari segi sektor pembangunan, malah turut tertinggal dari segi intelek kanak-kanak.
Khairul Jamain - Kertas dan pensel adalah alat untuk mengubah masa depan kerana tiada satu negara yang maju tanpa pendidikan
Menerusi Facebook, seorang lelaki yang dikenali sebagai Khairul Jamain berkongsi kisahnya yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menyantuni suku kaum etnik Bajau Laut.
Bajau Laut, sering dipanggil "gipsi laut", merupakan satu-satunya kumpulan manusia di rantau ini yang tidak bernegara. Kumpulan etnik ini yang juga dikenali sebagai Pala'u tinggal di dalam bot atau di pondok yang dibina di atas air, dan sering berpindah randah di perairan Filipina dan Indonesia.
Kehidupan mereka jauh ketinggalan zaman. Anak-anak kumpulan etnik ini tidak bersekolah, kerana itu mereka tidak mahir untuk bertutur atau memahami bahasa Melayu.
Khairul Jamain atau lebih senang dipanggil KJ mengambil keputusan berhenti kerja dan keluar mengembara sejak 2015. Jika dulu catatan dan perkongsian beliau hanya tentang kembara atau sesekali tentang NGO yang disertai, tapi kini lain pula. Khairul Jamain kini berulang alik setiap bulan mengajar kanak-kanak di Lautan Celebes, Semporna secara ikhlas kerana merasa kasihan dan tidak mahu mereka terus ketinggalan zaman lebih-lebih lagi dari segi pelajaran.
Pada awalnya, beliau mengambil masa untuk mendekati etnik ini sebelum diterima oleh mereka. Namun, setelah beberapa bulan mengkaji dan melihat bagaimana cara hidup dan budaya komuniti ini, beliau mula sedar bahawa mereka kehilangan sesuatu yang besar iaitu “Pendidikan”.
Etnik ini juga takut melihat pensel dan kertas mahupun menyentuhnya kerana tidak tahu menggunakannya. KJ mulakan dengan mengajar mereka melukis, menyanyi, bercerita dan menunjukkan contoh yang baik.
Walaupun terpaksa mengeluarkan kos RM400 untuk berulang alik menggunakan bot kecil ke pulau untuk mengajar serta terpaksa mengharungi gelora samudera selama 30-50 minit bergantung pada keadaan laut dan ombak itu tidak mematahkan semangat beliau.
Keakraban beliau dengan etnik ini terbukti apabila salah seorang etnik kaum ini, Kamalita memberikan nama anaknya yang berusia tujuh bulan bernama “KHAIRUL” sebagai tanda dia dan keluarganya mengingati nama KJ. KJ sangat tersentuh dengan tindakan Kamalita itu.
Menurut KJ lagi, apa yang dibuat ini adalah inisiatifnya sendiri dan mengharapkan kerajaan tidak menyisihkan etnik berkenaan. Beliau turut berharap usaha ini dapat memberikan manfaat kepada masyarakat. Selamat maju jaya KJ! - CARI |