Dosa bagi mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain adalah lebih besar berbanding dosa biasa. Hukumnya adalah haram mengambil barang atau makanan dari kenderaan yang terbabit dengan kemalangan sekiranya barangan tersebut diambil tanpa kebenaran pemiliknya.
Ihsan - FB Alinie Nasyira
Satu rakaman video berdurasi 28 saat yang memaparkan beberapa penduduk kampung mengutip susu tular di laman Facebook di mana orang ramai dilihat mengutip susu dari lori yang terbalik di simpang tiga Kampung Tawang di Bachok, Kelantan Darul Naim pada 31 Julai 2019. Lori bermuatan susu yang dalam perjalanan menghantar bekalan sekitar Bachok berkenaan terbalik menyebabkan ribuan stok susu bertaburan di atas jalan raya.
Terkini, anak kepada pemilik lori yang terbalik itu, Puan Alinie Nasyira menyeru orang ramai yang mengambil susu tersebut supaya mengembalikannya. Menurutnya lagi, kanvas lori tersebut telah dikoyakkan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk mengambil susu yang berada dalam lori walaupun tiada kebenaran diberikan untuk berbuat demikian.
Puan Alinie turut memaklumkan bahawa sekiranya susu yang kemek atau sedikit rosak diambil tidak mengapa, tetapi individu tidak bertanggungjawab mengambil susu yang masih elok dengan kuantiti yang banyak dan diangkut menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan.
Seperti biasa, perkara viral seperti ini mendapat pelbagai reaksi dan kecaman netizen.
Habislah satu kampung kena kencing manis...
Harap dapat himpunkan setempat supaya senang pemilik kira semula. Barang percuma semua berebut...
Mencuri namanya jika ambil barang yang bukan hak kita...
Insiden ini kelihatan kecil dan remeh tetapi hakikatnya ia adalah besar kerana memberi cerminan sikap masyarakat kita yang amat gersang dari pengisian rohani dan etika, sehingga tergamak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang. Semoga individu yang terlibat mengambil susu tersebut dapat memulangkan semula pada pemiliknya. - CARI
|