|
"Demi anak, tolong hentikan semua ini. Sejak awal saya beritahu jangan jadikan kes ini kecoh."
Sharnaaz Ahmad meminta isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, 35, untuk menjadi matang supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan dan memberi kesan terhadap anak mereka, Jebat Jayden Ahmad.
Kredit foto: IG Sharnaaz
Pelakon itu meminta agar Nabila berhenti memberi sebarang kenyataan berhubung proses penceraian mereka.
"Saya tidak mahu isu ini berpanjangan dan biarlah mahkamah menentukan. Apabila kes (proses penceraian) dibawa di mahkamah, biar semua orang tahu siapa yang memulakannya (mahu bercerai).
"Hari ini mungkin Jebat tidak tahu membaca, selepas lima atau enam tahun dia akan tahu dan bertanya di mana ibu dan bapanya," katanya kepada Harian Metro.
Sharnaaz bagaimanapun reda jika Nabila nekad untuk meneruskan perceraian mereka walaupun ia bukan permintaannya.
Sementara itu, Nabila sebelum ini menegaskan keputusan untuk bercerai adalah persetujuan bersama selepas usaha mereka memperbaiki hubungan menemui jalan buntu.
"Saya terkejut dengan kenyataan Sharnaaz (sebelum ini) seolah-olah dia tidak menjangkakan permohonan cerai, sedangkan kami bersetuju bercerai secara baik, aman dan damai," katanya.
Rasanya, siapa yang mahu bercerai dan apa puncanya?
Apapun, semoga isu ini tidak memberi kesan panjang pada Jebat. - CARI
|
|