Woolley seorang veteran Perang Dunia Kedua berbangga dapat meneruskan aktiviti tersebut pada usia 95 tahun. - Reuters
Ray Woolley, 95, seorang veteran Perang Dunia Kedua memecahkan rekod sendiri pada ulang tahun hari lahirnya selepas membuat selaman di sebuah lokasi kapal karam di perairan Cyprus.
Beliau menyelam selama 44 minit pada kedalaman 40.6 meter, menandingi rekod sebelumnya iaitu 41 minit dan 38.1 meter, ketika berusia 94 tahun. Selaman ini turut menjadikan beliau sebagai pemegang rekod penyelam skuba tertua dunia yang masih aktif.
Woolley sudah 58 tahun aktif menyelam skuba, dan dia berhasrat dapat meneruskannya pada tahun akan datang. - Reuters
"Kita berjaya lakukannya. Saya rasa hebat. Sangat istimewa apabila dapat memecahkan rekod sekali lagi dan saya harap jika saya terus cergas, saya akan pecahkan rekod lagi bersama anda tahun depan," ujar Woolley yang sudah menyertai aktiviti itu selama 58 tahun seperti dipetik Astro Awani.
Rekod terbaharu itu dicatat ketika membuat penerokaan ke atas bangkai kapal kargo Zenobia yang tenggelam bersama sebuah trak di perairan Larnaca pada 1980 yang juga lokasi menyelam terkenal.
Woolley yang berasal dari Port Sunlight, England dan kini bermastatutin di Cyprus berkata, dia pernah mengunjungi lokasi selaman itu pada tahun 1982.
Dokumentari kisah hidupnya ' Life Begins at 90', bakal ditayangkan di festival filem Bosnia-Herzegovina bulan ini.
"Saya enggan menerima hakikat yang saya sudah tua. Saya sekadar mahu membuktikan pada diri saya, dan juga orang lain bahawa bersenam itu amat penting terutamanya apabila sampai ke lingkungan usia seperti saya," ujarnya.
Umur hanya sekadar nombor. Bersenam secara tetap boleh mencegah atau melewatkan daripada menghidap sesetengah jenis penyakit apabila umur meningkat. Woolley adalah buktinya! - CARI |