Kuih kastard merupakan sejenis kuih yang mempunyai pelbagai nama seperti karipap kastard, apam suri, kuih tokyo, apam Penang, apam sua, apam Tokyo dan lain-lain.
Kuih ini mempunyai pelbagai inti. Ada inti kaya, kastard dan kelapa. Ia enak jika dimakan ketika sejuk selepas diletakkan di dalam peti sejuk.
Kuih-muih ini amat mudah disediakan dan sedap dimakan. Boleh disediakan dalam pelbagai warna dan inti mengikut cita rasa. Nak cuba? Ini resipinya seperti dipetik daripada FB Izza Howzin.
Kredit foto: ilovebakinginhse - Kuih Tokyo Inti Kastard
Apam Tokyo Inti Kastard Pandan
Bahan inti:
- 2 biji telur
- 2 cawan santan
- ¾ cawan gula
- 2 sudu besar tepung kastard
- 2 sudu besar tepung jagung
- Secubit garam
- 1/2 cawan air pati pandan pekat atau 2 helai daun pandan sekiranya ingin membuat inti kastard biasa
Cara membuat inti:
1) Campur semua bahan kecuali daun pandan. Kacau guna whisk atau sudu hingga sebati dan rata.
2) Tapis dan masukkan ke dalam kuali.
3) Kemudian, masukkan daun pandan dan kacau dengan api sederhana hingga pekat. Biarkan sejuk.
Bahan untuk kulit:
- 2 cawan tepung gandum
- 2½ cawan air
- Sedikit garam
- 1 sudu kecil baking powder
- ½ sudu kecil soda bikarbonat
- 1 biji telur
- Sedikit pewarna kuning / hijau
Cara membuat kulit:
1) Campur kesemua bahan. Kisar dan tapiskan.
2) Masak seperti membuat kuih dadar atau penkek. Masak hanya sebelah permukaan sahaja (tak perlu diterbalikkan).
3) Isikan dengan inti kastard yang telah dibuat tadi.
4) Angkat, kemudian lipat dan tekan hujung kuih tersebut. Tekan dengan sudu untuk mendapat bentuk yang cantik. Boleh juga gunakan acuan membuat karipap.
Sedia untuk dimakan. Selamat mencuba!
NOTA:
1) Sebaiknya guna kuali leper kecil untuk dapatkan bentuk yang sama besar.
2) Boleh pelbagaikan inti lain seperti kaya, nutella, kelapa, mengikut cita rasa masing-masing. - CARI
Kredit resipi: FB Izza Howzin |