Luar biasa! Itulah perkataan yang mampu menggambarkan kehebatan Olivia Lim Ling yang berusia enam tahun dalam kemampuannya merangkul kejuaraan pada pertandingan "Vienna" Grand Prize Virtuoso 2019.
Kredit Foto: Malay Mail
Menurut sumber dari Malay Mail, gadis berasal dari Petaling Jaya itu menewaskan wakil dari 21 negara lain dengan memainkan Frederic Chopin's Waltz dalam E-Flat Major.
Pertandingan itu berlangsung di dewan ikonik Wiener Musikverein, Vienna pada 3 September lepas. Dewan tersebut dikenali sebagai salah satu dewan konsert termahsyur di dunia.
Olivia dikatakan telah menumpaskan peserta-peserta muda lain yang datangnya dari Brazil, United Kingdom, United States of America, Italy, Hong Kong, Singapore, Israel dan banyak lagi.
Kredit Foto: Hitz.com
Selain memenangi pertandingan berkelas antarabangsa itu, gadis luar biasa tersebut juga pernah memenangi beberapa pertandingan lain dalam dan luar negara.
Olivia mula berjinak dengan piano sejak berusia empat tahun lagi. Dia pernah dijemput untuk bermain di beberapa lokasi bertaraf gergasi seperti Philharmonie de France di Perancis dan Royal Albert Hall di London, tempat bersejarah di mana Datuk Seri Siti Nurhaliza pernah melakukan konsert.
Tahun ini, Olivia dijemput untuk bermain di Carnegie Hall di Manhattan, New York. Dikatakan, dewan tersebut begitu bersejarah kerana telah berusia 128 tahun.
Berikut merupakan video Olivia memainkan lagu yang menobatkannya sebagai juara antarabangsa di Vienna, cuma di lokasi yang berbeza.
Kedua-dua datuk dan nenek kepada Olivia menyatakan betapa bangganya mereka di atas kejayaan tersebut dan menyifatkan kemenangan itu sebagai satu 'kebanggaan Malaysia' dalam satu post yang telah dikongsikan melalui Facebook dan kami semua bersetuju dengan kenyataan itu.
Tahniah Olivia dan terima kasih kerana mengharumkan nama Malaysia di mata dunia! - CARI