Grab akan mengemukakan pembelaan bertulis kepada MyCC berikutan denda yang dicadangkan. Kredit foto: Says
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mahu mengenakan denda sebanyak RM86.77 juta kepada Grab kerana melarang pemandu-pemandunya daripada mengiklankan platform e-hailing lain pada kenderaan masing-masing.
Memetik laporan The Edge Markets pada 3 Oktober, denda yang dikenakan adalah sebanyak RM15,000 sehari dan difahamkan, ia merupakan jumlah denda terbesar yang dikeluarkan oleh MyCC setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail mendakwa, kesalahan itu dilakukan oleh Grab menerusi klausa yang tidak membenarkan para pemandu menggunakan kenderaan mereka untuk mempromosi dan mengiklankan syarikat-syarikat e-hailing yang lain.
"Tetapi kereta dimiliki oleh pemandu dan bukannya syarikat justeru, tidak sepatutnya ada sekatan kepada pemandu dari segi iklan yang dipaparkan pada kenderaan mereka.
"Sekatan ini akan mengganggu pasaran kerana ia mewujudkan halangan untuk memasuki industri dan pertumbuhan pesaing-pesaing Grab sedia ada serta pada masa akan datang," jelasnya.
Denda RM86.77 juta yang dicadangkan MyCC terhadap Grab merupakan jumlah terbesar yang dikeluarkannya setakat ini. Kredit foto: MyCC
Sementara itu, Grab yang terkejut dengan tindakan MyCC itu menegaskan bahawa ia mematuhi sepenuhnya Akta Persaingan 2010.
Syarikat e-hailing terbesar di Asia Tenggara itu akan memfailkan pembelaan bertulisnya kepada MyCC sebelum 27 November ini.
"Sementara pasukan guaman kami mengkaji keputusan yang dicadangkan itu, kami percaya ia adalah amalan biasa bagi syarikat perniagaan untuk memutuskan tentang ruang dan jenis iklan pihak ketiga pada platform masing-masing, mengikut keperluan dan maklum balas pelanggan," katanya.
Pemandu Grab tidak dibenarkan meletak iklan syarikat e-hailing lain pada kenderaan mereka (gambar hiasan). Kredit foto: Marketing Land
Grab menjadi pemain paling dominan dalam industri e-hailing di Malaysia setelah operasinya di Asia Tenggara digabungkan dengan Uber pada Mac 2018. - CARI |