Pelakon Redza Rosli baru-baru ini menjelaskan yang dia tidak kisah dilabel sebagai artis yang sukar didekati namun tidak bermaksud yang dia mengelak daripada memberikan kerjasama jika diperlukan. Kata-katanya itu adalah sebagai menjawab pertanyaan pihak Berita Harian ketika di lokasi penggambaran drama bersiri arahan Feroz Kader.
"Saya bukan jenis artis 'muka bersepah' yang boleh dilihat di mana-mana. Sekiranya menerima undangan menghadiri acara hiburan, saya akan luangkan masa sebagai menghormati penganjur," ujar pelakon bertubuh sasa ini yang enggan memberi kenyataan lanjut berhubung gosip percintaannya dengan penyanyi dan pelakon Ayda Jebat.
Kredit foto : Carian Google
Redza turut menjelaskan yang dia lebih selesa melakukan aktiviti lasak dan meluangkan masa bersama keluarga sekiranya tiada penggambaran dan tidak gemar menghabiskan masa melepak tanpa tujuan hanya untuk membuktikan yang dirinya masih lagi relevan dalam industri hiburan.
"Jika sekadar mahu tunjuk muka untuk membuktikan saya masih aktif, saya tiada masa."
"Selagi ibu dan bapa masih ada, saya hargai masa bersama mereka. Itulah kebahagiaan saya kerana saya tidak suka buang masa melepak tanpa arah tujuan."
Akui Redza, walaupun kariernya dilihat seperti tenggelam timbul, tetapi dia bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus. Pun begitu, Redza enggan terikat dengan watak antagonis dan mahu menonjolkan sisi lain dalam lakonannya.
"Jujurnya, saya memilih karakter dan jalan cerita sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini. Saya tidak mahu penonton melihat saya melakonkan watak yang sama."
Redza juga bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk memegang watak hero serta melakonkan karakter yang berat.
Baguslah begitu Redza. Tidak perlukan gosip murahan hanya kerana mahu menonjol. Yang penting berbakat dan ikhlas dalam melakukan sesuatu kerja. InshaAllah rezeki tidak akan terputus. -CARI
|