IPOH: Seorang lelaki berusia 57 tahun maut dipukul rakan sebiliknya yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang membuang air merata-rata di sebuah pusat jagaan pesakit mental di Tambun, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi dan disedari penghuni lain di pusat jagaan berkenaan, sebelum dimaklumkan kepada penjaga premis.
Katanya, suspek berusia 53 tahun dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa kerana asyik terkencing dan membuang air, lalu memukul lelaki itu.
"Berlaku kekecohan antara dua penghuni terbabit dan apabila rakan lain yang nampak mangsa tidak sedarkan diri, mereka terus meminta bantuan penjaga.
"Mangsa yang lebam pada muka, mata, bawah mata dan leher mangsa dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan dan menunggu hasil bedah siasat untuk tindakan lanjutnya memandangkan kejadian berlaku di sebuah pusat jagaan mental.
"Kita juga sedang semak rekod sama ada pusat jagaan itu berdaftar atau tidak.
"Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan akan menjalani pemeriksaan psikiatri bergantung hasil bedah siasat," katanya.