Pembantu perubatan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk kepala isterinya bulan lalu.
Hafifi Fikri Jamal, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Teoh Shu Yee di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.
Kredit foto: Sinar Harian
Mengikut pertuduhan, Hafifi didakwa dengan sengaja menumbuk kepala isterinya, Nadia Zaharah Azmi, 31, di sebuah rumah di Taman Bertam Indah kira-kira jam 7 petang pada 6 Mei lalu selepas berang mangsa yang juga pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan memanggil juruteknik lelaki membaiki kipas dan lampu di rumah mereka tanpa pengetahuannya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberikan jaminan rendah atas alasan perlu menjaga dua anak mereka yang masih kecil.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh atas faktor keselamatan mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM1,600 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes serta serahan dokumen pada 1 Oktober depan. - CARI |