|
Selepas kejayaan single Sakit dan Yang Terindah yang mencatatkan jumlah tontonan tinggi di YouTube, pelawak, Achey bersyukur kehadirannya sebagai penyanyi diterima ramai.
Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah memberitahu, dia juga tidak berdepan masalah dalam kutipan royalti sejak bergelar penyanyi.
Katanya, syarikat rakaman, Seventeen Eleven Music Sdn Bhd melaksanakan tanggungjawab dengan baik termasuk dalam soal agihan royalti.
Foto: IG
"Alhamdulillah, agihan royalti saya okay dan tidak ada masalah. Saya tidak tahu nama saya didaftar di bawah badan pelesenan mana satu. Semuanya diuruskan syarikat rakaman. Saya menyerahkan hal berkaitan royalti diuruskan mereka kerana lebih tersusun," katanya.
Tambah Achey, syarikat rakaman ada memberitahu dia boleh mendapat agihan royalti daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad.
Mengakui bersyukur dengan layanan dan tawaran baik yang diberikan syarikat rakaman, Achey tidak menyangka Seventeen Eleven Music antara yang yakin dengan kemampuan dirinya.
"Saya berterima kasih kepada Seventeen Eleven Music yang menjadi satu-satunya syarikat rakaman yang mengambil single pertama saya, Yang Terindah dan memasarkannya.
"Hasil kejayaan single itu, syarikat rakaman membuat kontrak dan pada masa depan, saya akan tampil dengan projek album mini," katanya.
Bagi Achey, syarikat rakaman mempunyai peranan penting dalam memastikan agihan royalti dibuat kepada artis naungan.
"Ini adalah hak setiap penyanyi. Syarikat rakaman perlu mengambil berat mengenai soal ini. Apa yang dikongsi itu adalah karya dan pihak yang mempersembahkannya adalah bakat di bawah pengurusan.
"Alhamdulillah, syarikat pengurusan tahu setiap perkara yang perlu dilaksanakan dan mereka menunjukkan setiap perincian bayaran royalti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Achey memberitahu, dia bakal tampil dengan album mini pada tahun depan.
"Lagu yang akan dimuat dalam album itu adalah Yang Terindah, Anak, Sakit dan single yang bakal dilancarkan awal tahun depan iaitu Sembuh disusuli sebuah lagu lain," katanya. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|