Wani Comel tidak akan teragak-agak membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap netizen yang melemparkan kata-kata fitnah terhadap dirinya di media sosial.
Menurut Wani atau nama sebenarnya, Nurul Airawani Nazira Ibrahim, 23, dia terpaksa bertindak sedemikian kerana terlalu banyak tohmahan dilemparkan terhadapnya selepas membuat pendedahan diperdaya usahawan kosmetik terkenal minggu lalu.
Kredit foto: IG Aliff Syukri
"Terlalu banyak pihak yang tak henti-henti mengacau hidup Wani dengan pelbagai kata-kata kesat dan tak kurang juga ada yang mendoakan Wani mati.
"Wani ingin menasihatkan agar mana-mana individu yang tag saya dengan cubaan gangguan, fitnah, cacian, makian dan hinaan dan apa-apa perkara negatif lain termasuk body shaming, saya sendiri akan membuat laporan polis dan laporkan kepada pihak SKMM kerana saya berhak berbuat demikian," katanya.
Wani juga meminta netizen berfikir dahulu sebelum menulis komen berkaitan dirinya jika tidak mahu sebarang tindakan diambil terhadap mereka.
"Mereka yang membantu Wani telah mengumpulkan semua bukti-bukti serta komen anda yang menghina, mengecam dan menghasut masyarakat untuk provokasi, menimbulkan perbalahan di media sosial di Instagram dan DM Wani.
"Tiada faedah untuk Wani menipu sesiapa dan tiada untungnya Wani buat tindakan macam tu. Hati-hati menulis, takut termakan diri," katanya.
Kredit foto: IG Wani
Sumber: mStar |