Pengendali Barcelona, Ronald Koeman bersalam dengan Lionel Messi selepas satu perlawanan sebelum ini. - Foto ihsan Everything Barca.
MADRID: Ronald Koeman berkata dia memerlukan lebih masa untuk menerapkan idea selepas persembahan buruk sebagai jurulatih Barcelona.
Barca akan berdepan Athletic Bilbao awal pagi esok waktu Malaysia untuk mengurangkan jurang 10 mata di belakang pendahulu La Liga, Atletico Madrid, yang juga bermain kurang satu perlawanan berbanding kelab Catalan itu.
Tekanan semakin bertambah buat Koeman, dengan masa depannya semakin tidak menentu apabila presiden kelab itu akan dipilih hujung bulan ini.
Ditanya bila pendekatannya akan menghasilkan persembahan lebih baik, Koeman berkata: "Sedikit demi sedikit kita akan melihatnya. Kami cuba membawa pasukan ke depan dan mempersiapkan pemain menghadapi kejuaraan tetapi kami berdepan kecederaan dan saya memiliki skuad yang saya tidak boleh banyak mengubahnya.
"Saya perlu lebih banyak masa untuk memperkenalkan idea saya."
Koeman mengesahkan pemain tengah, Carles Alena dibenarkan meninggalkan kelab berkenaan, dengan pemain berusia 23 tahun itu dijangka menyertai Getafe secara pinjaman.
Namun dijangka tidak banyak pemain baharu tiba bulan ini di Camp Nou, berikutan masalah kewangan kelab berkenaan.
"Setiap jurulatih, setiap Januari akan memikirkan bagaimana untuk memperbaiki pasukan," kata Koeman.
"Saya sudah membuat perancangan mengenai keluar masuk pemain. Ia boleh dilakukan atau tidak bergantung kepada kelab. Jika tidak, kami akan teruskan dengan pemain yang ada." |