Fizo Omar luluh hati melihat puteri kesayangannya, Wan Maryam menjalani rawatan dan kuarantin selepas disahkan positif COVID-19 bersama bekas isteri pada 4 Januari lalu. - Foto IG Fizo Omar
Pelakon, Fizo Omar lega melihat perkembangan anak tunggalnya, Wan Maryam, 4, masih aktif biarpun disahkan positif COVID-19 pada 4 Januari lalu.
Semalam, Fizo memuat naik video berdurasi lebih lima minit bagi menerangkan keadaan anak dan bekas isteri, Mawar Karim yang disahkan positif COVID-19. Mereka kini sedang menjalani rawatan dan kuarantin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Fizo berkata, Maryam tidak mempunyai sebarang simptom seperti dialami bekas isteri, Mawar yang mengalami batuk, sakit dada, sesak nafas dan hilang deria rasa.
"Setakat ini, Alhamdulillah, Maryam masih aktif dan belum menunjukkan sebarang simptom. Sedikit sebanyak melegakan saya, namun ia tetap memberi kesan dan emosi yang mendalam kepada saya.
"Pandemik COVID-19 bukan seperti penyakit lain, kita boleh menziarah pada bila-bila masa. Sebaik Maryam disahkan positif, saya tidak dibenarkan langsung melawatnya. Jika ke hospital menghantar makanan atau barang, saya hanya dibenarkan meletakkannya di luar dan langsung tak berpeluang melihat Maryam.
"Luluh hati saya sebagai bapa apabila melihat video Maryam dibawa menaiki ambulans bagi menjalani kuarantin. Tetapi, agak lega kerana bekas isteri ada di sampingnya. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana jika Maryam sahaja yang didapati positif," katanya kepada BH Online.
Bekas isteri Fizo Omar, Mawar Karim dan anaknya, Wan Maryam kini sedang menjalani rawatan dan kuarantin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sejak tiga hari lalu. - Foto IG Fizo Omar
Fizo berkata, dia akan membuat panggilan video setiap jam menerusi bekas isteri bagi memastikan Maryam berada dalam keadaan baik.
"Saya tak pasti Maryam mendapat jangkitan daripada mana, tetapi difahamkan bekas isteri mempunyai kontak rapat dengan individu yang dijangkiti.
"Alhamdulillah, saya dan keluarga disahkan negatif. Perkara hendak terjadi, memang kami tidak boleh buat apa-apa, walaupun saya dan bekas isteri sangat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak akan membawa Maryam keluar jika berasakan tidak perlu.
"Nasihat saya, tolong patuhi SOP. Anda tidak tahu bagaimana pedih melihat anak sendiri dijangkiti. Sukar diluahkan perasaan betapa saya risau," kata Fizo yang kali terakhir berjumpa Maryam pada 28 Disember lalu.
Sumber : BeritaHarian
|