Putera mahkota Mohammed bin Salman (kanan) menyambut ketibaan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani untuk menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk ke-41 di Al-Ula, Arab Saudi pada Selasa. (Gambar AP)
RIYADH: Arab Saudi pada Selasa mengesahkan ia sudah berdamai dengan Qatar dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk ke-41 membuka fasa baru “solidariti” serta “kestabilan” antara negara serantau, lapor agensi berita Anadolu.
Menteri Luar Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud dalam sidang media di kota al-Ula berkata, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir memulihkan hubungan diplomatik dengan Qatar sepenuhnya.
“Kebijaksanaan pemimpin Teluk mampu mengatasi semua perbezaan.
“Ada kemahuan politik dan keyakinan baik untuk memastikan pelaksanaan perdamaian,” katanya selepas sidang kemuncak itu.
Sidang kemuncak yang turut dihadiri Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, itu menandakan kejayaan dalam penyelesaian krisis sejak Jun 2017, ketika empat negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.
Mereka menuduh Qatar menyokong keganasan dan mencampuri urusan dalaman, namun dinafikan Doha.
Sumber : Freemalaysiatoday |