Ozil sedia bantu Arsenal cara bayar baki kontraknya bagi membolehkannya meninggalkan pasukan itu bulan ini.
LONDON: Mesut Ozil akan menawarkan peluang kepada Arsenal untuk melepaskannya pada bulan ini - dengan membahagikan baki kontraknya untuk tiga tahun yang akan datang.
Ozil ada pilihan untuk meninggalkan Emirates pada jendela perpindahan kali ini, namun The Gunners perlu membayar baki kontraknya selama enam bulan dengan gaji setinggi 350,000 pound (RM1.9 juta) seminggu.
Pemenang Piala Dunia itu tidak mahu mengorbankan baki gajinya berjumlah 8.75 juta pound (RM47 juta) itu untuk Arsenal melepaskannya meskipun dia kini menjadi sasaran Fenerbahce dan DC United.
Namun Sunsport difahamkan dia bersedia untuk membantu pasukan itu.
Ia adalah dengan cara mengurangkan gaji mingguan kepada 68,000 pound (RM317,000) sehingga musim panas 2023.
Meskipun mereka terpaksa membayar gaji Ozil untuk tempoh dua tahun setengah, namun ia dapat mengurangkan komitmen gaji pemain itu sebanyak 1.2 juta pound (RM6.56 juta) sebulan.
Dengan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) terjejas teruk susulan COVID-19, pembayaran jangka masa panjang itu mungkin menjadi tawaran yang menarik kepada pasukan itu.
Pilihan lain adalah dengan menawarkan wang untuk baki enam bulan yang tinggal kerana jika tidak, dia lebih suka untuk kekal sehingga musim panas nanti. |