Ibu mana yang tak sayangkan anak mereka? Seperti yang kita ketahui dan alami, pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya adalah suatu perkara yang tidak akan mampu terbalas.
Sebuah video yang dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter bernama @SudhaRamenIFS membuktikan bahawa bahkan haiwan juga turut mempunyai naluri dan perasaan untuk mengorbankan nyawa mereka bagi melindungi anak-anak mereka.
Video ibu seekor itik yang dilihat melawan seekor ular bagi memastikan anak-anaknya selamat dan mengorbankan nyawanya daripada pemangsa itu telah menjadi tular di media sosial.
Waktu dan lokasi video tersebut tidak diketahui, namun ianya memaparkan seekor ular yang dipercayai jenis ular sawa, masuk ke dalam sebuah lubang yang didiami oleh ibu itik tersebut dan anak-anaknya.
Si ibu yang menyedari ancaman tersebut segera membuka sayapnya bagi mengeluarkan anak-anaknya dari lubang tersebut bagi menjauhkan diri mereka daripada bahaya.
Namun begitu, pada saat anaknya yang terakhir berjaya lolos daripada ancaman tersebut, sudah terlambat buat si ibu untuk menyelamatkan dirinya.
Si ibu hanya terkaku apabila ular tersebut bertindak melilit tubuhnya.
Video tersebut berakhir dengan itik yang dililit ular tersebut lemas sehingga mati.
Video yang berdurasi selama 44 saat itu telah membuatkan ramai warganet membicarakan tentang soal kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu terhadap anak-anak mereka tanpa mengenali spesisnya.
Sumber: India Times/Siakapkeli |