Maddison meraikan gol jarigannya dengan mengamalkan penjarakan sosial. FOTO AFP
Harian Metro
London: Leicester City melonjak di tangga kedua Liga Perdana selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Southampton di Stadium King Power, hari ini.
James Maddison menjaringkan gol pertama minit ke-37 sebelum meraikan jaringan itu dengan agak unik apabila meminta rakan sepasukan menjarakkan diri dengannya sebelum Harvey Barnes menambah gol kedua pada lewat permainan.
Kemenangan itu menyaksikan Liecester hanya kurang satu mata berbanding pendahulu, Manchester United yang akan berkunjung ke Liverpool awal pagi esok manakala Southampton kelapan, kurang tiga mata berbanding empat pasukan teratas.
"Jika dengan cara ini dapat meneruskan aksi bola sepak, maka kami perlu melakukannya," kata Maddison merujuk kepada cara meraikan jaringannya itu dalam usaha mengurangkan risiko penularan pandemik Covid-19.
"Pemain bola sepak mempunyai tanggungjawab tersendiri untuk menyampaikan mesej itu kerana seluruh negara mahu aksi bola sepak diteruskan."
Pengurus Leicester, Brendan Rodgers pula berkata, kemenangan itu cukup bermakna selepas anak buahnya bermula perlahan.
"Amat baik mencatatkan kemenangan ke atas pasukan yang bagus. Kami agak pasif pada awal permainan tetapi selepas itu mula melakukan serangan dan akhirnya dapat menjaringkan gol.
"Selepas berakhir separuh masa pertama, kami perlu mengingatkan pemain kepentingan untuk terus bersaing. Anda perlu bersaing dalam usaha mendapatkan mata.
"Selepas itu permain mempamerkan aksi cemerlang pada separuh masa kedua dan kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol," katanya. |