Jumlah kes baharu meningkat mendadak yang direkodkan tiga hari berturut-turut disebabkan oleh pelaporan lewat kes ke Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kredit foto: YouTube HMetro
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah apabila memaklumkan jumlah kes berkenaan turut merangkumi kes-kes yang dikesan positif pada tahun lalu.
"eningkatan kes yang mendadak ini adalah disebabkan oleh saringan bersasar di tempat kerja, saringan kontak rapat dan saringan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan secara besar-besaran di beberapa negeri.
"Namun begitu, kes-kes yang lewat dilaporkan ini sudah diambil tindakan sewajarnya di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkenaan seperti pengasingan dan rawatan ke atas kes-kes positif, pengesanan kontak rapat serta pengesanan kes secara aktif," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat juga kelewatan pelaporan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) oleh fasiliti swasta berdaftar seperti klinik dan hospital swasta.
"Terima kasih kepada fasiliti swasta yang melaporkan kes segera menggunakan SIMKA dan juga pengguna MySejahtera yang membuat laporan kendiri bagi memaklumkan status keputusan ujian Covid-19 mereka.
"KKM akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan agar isu kelewatan pelaporan kes-kes positif ini dapat ditangani dengan segera bagi membendung penularan Covid-19 di Malaysia," katanya.
Sumber: Harian Metro |